Pengumuman‎ > ‎

Karnival Sukan PESAMP 2019

posted Nov 15, 2019, 5:27 AM by Admin Pesamp   [ updated Nov 15, 2019, 5:28 AM ]

Salam semua RN yang di hormati,


Dua hari lagi Karnival Sukan PESAMP akan diadakan Kompleks Sukan UiTM Shah Alam. AJK PESAMP dengan sebulat suara telah memutuskan untuk mengadakan karnival sukan ini buat kali kedua setelah mendapat maklumbalas daripada ahli-ahli seluruh negara melalui roadshow yang dijalankan sebelum ini.


Hasrat kami, dengan mengadakan karnival ini adalah untuk meningkatkan semangat perpaduan di kalangan Rakan Niaga Petronas serta mengekalkan hubungan akrab dengan kakitangan Petronas Dagangan Berhad. Dengan cabaran-cabaran hebat yang bakal datang untuk industri runcit petroleum ini, kita perlu membina semangat kerjasama yang lebih erat. Semoga dengan terjalinnya hubungan Silaturrahim ini, kita akan dapat menempuhi bersama segala rintangan yang akan datang.


Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan semua Rakan Niaga yang telah sama-sama memberikan sumbangan dari segala segi termasuk wang ringgit, masa dan tenaga bagi menjayakan karnival sukan buat kali kedua ini. Kami menjangka penyertaan seramai 500 orang yang terdiri daripada RN, kakitangan PDB serta kumpulan penyokong. Karnival ini tidak mungkin boleh berhasil tanpa sokongan anda semua.


Untuk pengetahuan semua, hampir kesemua perbelanjaan Karnival Sukan PESAMP 2019 ini dibiayai hasil daripada sumbangan para penaja, manakala penyertaan kakitangan Petronas di biayai penuh oleh pihak PDB. Kali ini Penaja Utama karnival adalah Mistubishi Motors (EON Auto Mart) dan diikuti oleh CIMB, Maybank, Setel, e-Pay dan Safeguards G4S. Manakala sumbangan barangan berupakan makanan dan minuman diterima daripada lebih 20 pembekal Kedai Mesra. Peniaga-peniaga IKS juga akan turut serta memberikan sokongan kepada karnival PESAMP kali ini.


Dalam keseronokan bersukan, PESAMP masih tetap sedar akan ketidaktentuan masa depan lanskap perniagaan kita. Maka, kami mengambil keputusan untuk membuka ruang untuk RN semua berdialog  dengan barisan kepimpinan PESAMP bagi menyuarakan segala idea, pendapat dan maklumbalas tentang masa depan perniagaan kita.


Bercakap tentang semangat bekerjasama, sebagai ahli persatuan, kita perlu bersatu dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Mengambil ibrah dari apa yang telah terjadi di negara lain, bilamana industri runcit petroleum menjadi pasaran terbuka, syarikat minyak selain daripada syarikat minyak nasional, akan keluar dari pasaran negara bila keadaan menjadi lebih sukar dan tidak lagi menguntungkan. Kita juga perlu mengeratkan hubungan kerjasama dengan pihak kerajaan dan juga syarikat minyak nasional kita. Ini bagi memastikan kita kekal menjadi peneraju pasaran runcit minyak di negara kita.


Saya, secara peribadi, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada AJK penganjur Karnival Sukan PESAMP 2019 ini, terutamanya kepada saudara Shahnaz Dell Akhbar Khan, Timbalan Presiden PESAMP selaku pengerusi komiti penganjur yang sekarang ini sedang berusaha gigih bagi memastikan semua berjalan lancar. Juga terima kasih kepada barisan exco PESAMP yang membantu dalam apa jua bentuk persediaan penganjuran carnival sukan kali ini. Tidak dilupakan, tulang belakang kepada karnival kita iaitu kapten-kapten pasukan bagi setiap wilayah:

 

  1.        Saudara Zahan Azwan Arifin (Central)
  2.        Dato’ Mohamed Asri B Hassan (Eastern)
  3.        Mej(B) Mohamed Hussin Zakaria (Northern)
  4.        Saudari Cindy Ling (Borneo)
  5.        Saudara Amir Saufi (Southern))


Akhir sekali, kepada rakan-rakan niaga yang belum menjadi ahli PESAMP, atau masih belum membayar yuran tahunan PESAMP untuk 2019, bolehlah mengunjungi booth PESAMP sepanjang berlangsungnya Karnival Sukan 2019 ini. Saya berharap semua ahli akan datang memeriahkan karnival kali ini. Selamat berjuang kepada yang bertanding!


Wasalam,

Dato’ Khairul Annuar Abdul Aziz

Presiden PESAMP 2019-2021

Comments