Pengumuman‎ > ‎

UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU PRESIDEN PESAMP

posted Dec 31, 2016, 12:50 AM by Admin Pesamp   [ updated Mar 19, 2017, 3:47 AM ]

Adalah dengan segala hormatnya saya mengucapkan salam dengan doa semoga rakan-rakan seperjuangan sekelian di dalam keadaan sihat walafiat serta sentiasa di dalam lindungan Allah Subhana Wataala.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK dan exco yang telah berkhidmat selaku AJK PESAMP 2014-2016, terutama kepada AJK yang tidak menawarkan diri untuk dicalunkan semula atau mengundurkan diri. Terima kasih kepada semua rakan-rakan kita seperti tersenarai di bawah:

  • YBhg Datuk Zamani Tambichek (Naib Presiden)

  • Hj Basuki Yusof (Naib Presiden)

  • Encik Jaafar Ahmad (Setiausaha)

  • Hj Mazlan Zaharuddin Mat Arof (AJK Pahang)

  • En Abdullah Md Yusof (AJK Melaka)

  • En Azami Muhamad Yatim (AJK Kelantan)

  • Hj Ahmad Sampur (Juruaudit)

  • Hj Nadzri Md Nor (AJK Putrajaya)

  • En Dzulfiqa Enolil Mustapha Khalil (AJK Selangor)

Seterusnya, berikut adalah pautan kepada senarai barisan AJK terbaru yang telah di pilih dalam AGM PESAMP ke 31 beserta AJK lantikan -> http://www.pesamp.org/ahli-jawatankuasa.


Mengimbas Kembali Sessi 2014-2016

Dua tahun yang lepas amatlah mencabar.

Bermula dengan implementasi GST. Alhamdullilah PESAMP bersama PDAM telah berjaya mendapatkan pengecualian Input GST untuk RON95 dan Diesel daripada pihak MoF dan menyelamatkan Industri daripada penambahan modal sekitar RM275 juta (purata penambahan modal akibat sebulan setengah menanti pulangan Input GST). Namun, industri kita pula telah di anggarkan menambah kos sekitar RM3.5 juta sebulan untuk menggajikan staff tetap atau outsource perkhidmatan bookkeeping.

Ini di ikuti dengan pengapungan bulanan harga pam yang telah menyebabkan kerugian sekitar RM105 juta untuk industri Peruncitan Petroleum bagi keseluruhan tahun 2015. Alhamdullilah harga petroleum telah stabil sekitar 2016 di mana kerugian dan keuntungan harga naik turun minyak tidak membawa kerugian sepertimana tahun 2015.

Sekitar tahun 2016, harga bahan petroleum merudum seluruh dunia, mengakibatkan pelbagai perubahan drastik oleh pihak Petronas Holdings termasuk Petronas Dagangan Berhad, di mana kos perlu dikurangkan termasuk pengurangan staff. Aktiviti penjimatan kos ini telah sedikit sebanyak memberi impak secara langsung dan tidak langsung kepada kita Rakan2 Niaga PDB. Banyak kos telah di pindahkan kepada kita secara langsung dan tidak langsung. Sebagai contoh kos maintenance dan percetakan bahan  promosi, juga kos training.

Peningkatan penjualan melalui medium pembayaran elektronik (Kad Kredit, Debit, Smart Pay etc) terutama pada permulaan tahun 2016 adalah sesuatu yang positif, tetapi malangnya Infrastruktur Sistem Kad dan ICT PDB tidak dapat menampungi kenaikan trafik ini, dan kita telah kehilangan pelanggan menyebabkan ada di kalangan kita mengalami kejatuhan penjualan jika di bandingkan dengan SPLY. Sepatutnya kita merasai peningkatan penjualan bahan petroleum runcit mengikut trend global di mana sewaktu fenomena harga minyak rendah, penjualan runcit secara amnya melambung dan pendapatan syarikat-syarikat runcit dan wholesale petroleum meningkat berlipat kali ganda. Malang sekali, tahap penjualan kita (throughput) tidak banyak berkembang seperti mana purata perkembangan penjualan petroleum runcit nasional.

Bagi penglibatan PESAMP di dalam PDAM juga, alhamdullilah barisan PESAMP telah di beri mandat sepenuhnya oleh ahli-ahli PDAM untuk menerajui barisan pimpinan PDAM dengan perlantikan YBhg Datuk Zamani selaku Naib Presiden, Dato’ Rofaie selaku Setiausaha Agung, saudara Khairul Faizi selaku Bendahari Agung dan saya sendiri selaku presiden PDAM. Ini adalah satu mandat yang besar, dan kami berhajat untuk melakukan yang terbaik, dengan penuh tanggungjawab untuk bersama-sama rakan-rakan daripada SPDAM, PeDAM, Persatuan BHP dan Caltex untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pengusaha-pengusaha industri peruncitan petroleum terus terpelihara.

Lawatan sambal belajar ke Sydney juga telah di buat bersama dengan PDAM, dan banyak yang telah dipelajari melalui lawatan itu seperti yang telah di kongsikan bersama ahli-ahli dalam seksyen pengumuman laman web PESAMP di sini -> http://www.pesamp.org/pengumuman/lessonlearnfromsydneytrip.

Bagi perkembangan terkini dari segi kertas cadangan PESAMP kepada kerajaan bagi menaikkan komisyen dan melaksanakan beberapa perkara untuk mengurangkan kos pengusaha, sila layari pengumuman di laman web PESAMP di sini -> http://www.pesamp.org/pengumuman/pesampcontinuouseffortinengaginggovernmenttoensuresurvivalandcontinuedprosperityofpetrolretailindustry.


Permulaan Baru bagi tahun 2017

Tahun 2017 adalah tahun yang ramai penganalis ekonomi dunia meramalkan permulaan Global Economic Recession. Namun dengan perjanjian menghadkan pengeluaran minyak oleh negara OPEC dan negara-negara bukan OPEC, sedikit sebanyak memberikan ruang pernafasan kepada berpuluh-puluh negara pengeluar minyak dunia (termasuk Malaysia) yang akan dapat menampung deficit negara masing-masing akibat pengurangan hasil penjualan bahan petroleum.

Namun, Petronas Dagangan Berhad akan terus merasionalisasikan kos operasi mereka dan melihat untuk menaikkan keuntungan daripada operasi. Dengan latar belakang ini, Petronas Dagangan Berhad telah mengambil keputusan drastik untuk berbincang bersama Rakan2 Niaga semua untuk mewujudkan satu  perjanjian baru yang, pada dasarnya akan boleh di terima pakai oleh semua Rakan2 Niaga seluruh negara. Perjanjian ini sepatutnya dijadikan sebagai “Motivational Tool” dua hala terpenting bagi PDB dan Rakan Niaga untuk bekerjasama untuk menjadi juara.

Saya menerima pelawaan PDB dengan hati terbuka, kerana buat pertama kalinya kita dapat menentukan isi kandungan perjanjian baru bersama-sama PDB, tidak seperti sebelum ini di mana kita hanya di beri contoh perjanjian setelah di buat oleh PDB untuk di terima pakai. Namun, saya juga terkilan, kerana kita juga berpegang kepada janji pihak Pengurusan Atasan PDB sebelum ini yang mana Perjanjian DLA ini tidak akan di gantikan melainkan kita di upgrade ke stesen baru.

Oleh itu, saya mencadangkan kita sebagai Rakan2 Niaga PDB perlu bersatu, bekerjasama untuk membentuk satu rangka perjanjian baru yang lebih adil dan saksama untuk menggantikan perjanjian DLA dan REDA, dan juga merangkumi klausa-klausa yang memberi kebolehan kepada kita untuk berdepan dengan perubahan industri kita, iaitu Deragulasi, yang lambat laun mungkin menjadi realisasi. Kita juga dapat memastikan perkara-perkara berikut dapat diperbetulkan

  • Kaedah dan terma pembayaran bahan petroleum dan barangan kedai Mesra

  • Tahap Stok simpanan minyak dan penjadualan pesanan stok mengikut trend jualan

  • Sdn Bhd sebagai model perniagaan untuk menjalankan perniagaan Stesen Minyak. Dapat mengatasi masalah waris, mudah mengembangkan perniagaan dan model perniagaan terbaik untuk melangkau ke era DeRegulasi.

  • Kos Penyelenggaraan, Promosi, Lesen dan Training.

  • Kadar OLF di kekalkan/kurangkan.

  • Perniagaan lain selain Stesen Minyak dibenarkan terutama di premis stesen minyak sendiri.

  • Tempoh Kontrak tiada had

Kita dengan hati terbuka perlu bekerja sama dengan pihak PDB untuk merangka satu perjanjian yang boleh diterima pakai oleh semua pihak. Untuk tujuan ini, beberapa EXCO PESAMP telah memulakan satu jawatankuasa kerja termasuk Dato’ Abu Samah, Hj Zamri Ali, Hj Zamri Johan, Hj Basuki, Hj Ali Lok dan beberapa EXCO PESAMP terpilih. Jawatankuasa telah pun membuat keputusan berikut:

  • Kita akan meminta terma-terma seperti di atas di masukkan.

  • Akan mendapatkan perkhidmatan peguam professional dan KPDNKK membantu

  • Adalah hak mutlak kita untuk menerima atau menolak sebarang perjanjian baru selagi perjanjian sedia ada masih “valid”. Oleh itu, setelah berbincang bersama PDB, kita akan membuat keputusan bersama melalui satu EGM/AGM untuk menandatangani perjanjian baru atau sebaliknya.

Selain daripada perjanjian baru, PESAMP juga terlibat dalam jawatankuasa khas untuk pembaikan infrastruktur sistem kad dan ICT bersama PDB. Ini termasuk pertukaran Back Office baru menggantikan ISIS. PESAMP juga bekerjasama dengan Pasukan Khas Rakan2 Niaga dan PDB terutama dengan pihak FMD dan RBD untuk memantapkan lagi proses penerimaan minyak dan menghapuskan kes kehilangan minyak semasa dalam proses penghantaran dan penerimaan, dengan beberapa kejayaan kerjasama yang paling ketara sedang berlaku di Sarawak.

Lawatan belajar ke Filipina dan Afrika Selatan juga dalam perancangan terutama untuk memahami bagaimana syarikat minyak nasional seperti Petron dapat terus bersaing post-deregulation dan mengekalkan kedudukan selaku peneraju pasaran di negara sendiri; dan di Afrika Selatan di mana anak syarikat PDB telah berjaya mengekalkan kedudukan selaku peneraju pasaran di Negara yang mengamalkan sistem deregulasi unik iaitu pengapungan harga minyak secara bulanan dengan penetapan tahap komisyen oleh kerajaan mengikut harga pam.


Akhir sekali, saya ingin mengucapkan semua Rakan2 Niaga Selamat Tahun Baru. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan harapan yang tinggi. Semoga Allah swt memberkati segala usaha kita dan mempermudahkan segala urusan kita demi masa depan kita semua.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas,

Dato' Khairul Annuar bin Abdul Aziz; DIMP
Presiden PESAMP 2016-2018

 

 

 

Comments