PENETAPAN BEKALAN STOK KEPADA 3 HARI JUALAN

Post date: Jan 3, 2016 7:14:51 PM

Susulan daripada mesyuarat yang diadakan dengan PDB pada 17 Disember 2015 diantara pihak pengurusan Customer Experience Department Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan EXCO PESAMP, PESAMP berpendirian bahawa paras stok “yang bersesuaian” adalah setakat 3 HARI JUALAN setiap hari.

Bermula dari tarikh 15hb Disember 2015, didapati pihak PDB telah menjalankan aktiviti TANK TOP sebagai persediaan sempena sambutan cuti Maulidur Rasul, Hari Natal dan Akhir Tahun. Rata-rata stesen mula menerima penghantaran stok yang banyak dan kadar simpanan stok di stesen adalah antara 5 ke 7 hari jualan. Aktiviti TANK TOP ini di jangkakan diteruskan sehingga 3hb Januari 2016. PESAMP mengjangka bahawa penurunan harga minyak di pam pada 1 Januari 2016 akan melebihi 10 sen seliter dan akan merugikan semua pengusaha-pengusaha stesen minyak Petronas seluruh negara.

Disini pihak PESAMP merujuk kepada minit mesyuarat KPDNKK bertarikh 30 Disember 2014. Pihak KPDNKK telah memutuskan bahawa bekalan stok telah ditetapkan antara 2 hingga 3 hari jualan terutama di hujung bulan. Mesyuarat ini dihadiri oleh semua Syarikat Minyak dan pihak PDAM.

Sehubungan dengan itu, PESAMP berpendapat aktiviti yang dilakukan oleh pihak PDB ini tidak selari dengan keputusan yang dibuat oleh pihak KPDNKK. Oleh itu PESAMP berharap agar pihak PDB kembali menetapkan paras stok sepertimana yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut sebagai menghormati keputusan pihak KPDNKK.

Buat masa ini, PESAMP hanya berpandukan minit mesyuarat KPDNKK ini memandangkan ia dihadiri oleh semua wakil industri. Sekiranya ada maklumat dan perbincangan lain, kami bersedia untuk menyertainya.

Wasalam,

Khairul Annuar bin Abdul Aziz

Presiden PESAMP