Ucapan Tahun Baru Presiden PESAMP

Post date: Jan 3, 2016 7:37:04 PM

Salam Semua Rakan Niaga,

Tahun 2015 telah berakhir dan sememangnya adalah tahun yang amat mencabar bagi kita semua. Pelbagai isu seperti kerugian akibat pengapungan harga minyak di pam, perlaksanaan GST (terutama isu Input GST ditanggung oleh pengusaha), lebih 100 stesen kekeringan semasa cuti pertengahan tahun, tamatnya lease PCOS yang tidak diperbaharui, implimentasi STAR/tank top dan lain-lain.

Untuk pengetahuan semua, PESAMP telah bertungkus lumus berjuang untuk menangani isu2 tersebut, dan Alhamdullilah ada yang telah kami berjaya dan ada yang masih kami perjuangkan. Antara kejayaan yang diperolehi adalah mendapatkan pengecualian daripada semua pengusaha mendahulukan GST 6% untuk Px95 dan Diesel, dan ini telah dapat mengelakkan daripada setiap pengusaha mengeluarkan sekitar RM50k ke RM200k modal tambahan dan juga menyelamatkan ramai Rakan Niaga daripada menyerahkan stesen.

Dalam menangani isu PCOS PESAMP sedang cuba membantu untuk mencari jalan penyelesaian terutamanya masalah yang di hadapi oleh Rakan Niaga di utara, selain berbincang dengan MiDF dalam mendapatkan info berkenaan pakej kewangan DODO untuk RN yang ingin meneruskan perniagaan sebagai DODO. Isu stesen kekeringan dan tank top akibat STAR, PESAMP telah sama-sama berbincang dengan PDB bagi membantu untuk mendapatkan setting terbaik untuk perlaksanaan STAR, terutama menangani isu kekeringan. Namun kami masih lagi memperjuangkan stok 3 hari purata sahaja di stesen dan perjuangan ini kami masih meneruskan, walaupun PDB masih menggunakan antara 5-7 hari stok dalam sesetengah kes.

Pelbagai lagi usaha yang telah kami lakukan sepanjang 2015 dan RN2 boleh melihat sendiri di laman web kami iaitu www.pesamp.org atau www.facebook.com/pesamp. Sekarang ini kami telah siapkan kertas cadangan dan juga data sokongan dan telah diberikan kepada Timbalan Menteri Kewangan. Ini adalah usaha kami untuk menangani 2 isu utama, iaitu kenaikan kos dan masalah kerugian disebabkan pengapungan harga setiap hujung bulan. Kertas cadangan termasuk permintaan kenaikan komisyen dan pengurangan kuantiti kenaikan/penurunan harga pam untuk mengurangkan risiko kerugian dan menstabilkan harga pam.

Dari segi kewangan, Alhamdullilah kedudukan kewangan PESAMP bertambah kukuh. PESAMP telah berjaya menambah dana dalam akaun PESAMP daripada dua sumber utama iaitu daripada sumbangan pembaharuan pekerja asing sekitar RM75k, dan pendapatan daripada yuran keahlian baru serta yuran tahunan sekitar RM135k. Namun, pendapatan ini tidak dapat di kekalkan, kerana kebanyakan pekerja asing PESAMP telah pun berkhidmat hampir 10 tahun, di mana mereka perlu pulang ke Negara asal selepas itu. Pembayaran yuran keahlian seumur hidup juga tidak akan dapat menampung perbelanjaan PESAMP di masa akan datang. Oleh itu, Rakan Niaga yang di hormati sekelian, saya berharap pembayaran yuran tahunan sebanyak RM150 setiap ahli perlu di teruskan, kerana mengikut rekod kami, kadar pembayaran yuran tahunan RM150 amatlah rendah.

Namun cabaran yang lebih besar akan kita sama-sama merempuhi menjelang tahun baru ini iaitu 2016 dan seterusnya. Kenaikan kos akibat kenaikan Kadar Gaji minima, tariff letrik dan kenaikan kos sara hidup serta penurunan harga minyak yang di jangka akan berterusan sehingga 1 ke 2 tahun lagi.

Deregulasi juga akan menjadi kenyataan, terutama kerana Malaysia mempunyai tanggungjawab memastikan semua industri termasuk peruncitan petroleum berubah kepada persaingan terbuka dan pengapungan harga pam sepenuhnya akan berlaku. Adakah kita sudah bersiap sedia? Apakah yang perlu kita lakukan untuk menghadapi gelombang pertukaran ini? Tahukan Rakan Niaga sekelian berapa ramai pengusaha stesen di seluruh dunia gulung tikar kerana tidak bersedia menghadapi deregulasi penuh? Sebagai contoh, di Australia yang mana pada suatu ketika ada lebih 26k stesen beroperasi, sekarang setelah melalui gelombang ini, hanya tinggal 6500 stesen sahaja yang masih meneruskan perniagaan? Di Thailand hampir 50% stesen tutup sebelum kerajaan kena campur tangan. Di Singapura semua stesen terpaksa diuruskan sendiri oleh Syarikat Minyak kerana semua pengusaha meninggalkan industri ini. Apakah model perniagaan terbaik untuk menghadapi semua ini?

Adakah terus menjadi Sole Prop, kita boleh terus maju dalam perniagaan kita selepas Deregulasi? Tahukah anda kemasukan Supermarket dalam industri peruncitan petroleum telah menyebabkan beribu pengusaha gulung tikar di Australia, walaupun hanya mempunyai 25% daripada rangkaian stesen seluruh negara, rangkaian stesen Supermarket ini kini menguasai 52% market share. Di Malaysia langkah2 permulaan telah dinampakkan oleh syarikat-syarikat besar yang telah membeli beratus rangkaian stesen pesaing. Ada juga yang merancang untuk membuka rangkaian supermarket atau 7 Eleven di stesen2 tersebut. Syarikat2 ini akan mampu untuk bersaing dan menjual minyak tanpa sebarang keuntungan untuk menambahkan market share, dan langsung akan membunuh peniaga2 kecil di kawasan berhampiran.

Oleh itu, PESAMP perlu terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk PDAM dalam usaha untuk membuat persiapan bagi menghadapi isu yang besar ini. PESAMP juga telah memulakan kerjasama bersama Australasian Convenience and Petroleum Marketers Association (ACAPMA) supaya kita dapat belajar daripada pengalaman DeRegulasi rakan2 kita di Australia. Insya Allah kita akan dapat belajar apa yang kita perlu buat untuk persediaan dan mencadangkan polisi yang kita boleh mengesyorkan kepada kerajaan bagi memastikan perniagaan kita selaku SME boleh terus maju.

Oleh itu Rakan Niaga sekelian, PESAMP memerlukan sokongan padu daripada semua supaya PESAMP boleh terus bekerja keras untuk memastikan kejayaan perniagaan kita. Tanpa sokongan padu dan penglibatan Rakan Niaga semua dalam PESAMP, kami mungkin tidak dapat terus memperjuangkan serta mempertahankan agenda-agenda tersebut.

Alhamdulliah, PDB telah melancarkan kempen Winning Formula. Ini adalah peluang kita untuk menggiatkan lagi aktiviti pemasaran kita. Saya menggalakkan semua Rakan niaga turut serta membantu PDB untuk mencari pelanggan Smart Pay baru bagi memastikan jualan stesen kita naik secara individu, dan apabila semua berbuat perkara yang sama, Insya Allah kita akan terus berjaya dan cita-cita kita untuk menjadi peneraju pasaran akan tercapai.

Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun baru 2016 dengan doa dan harapan semoga tahun ini akan menguatkan semangat setiakawan dan perpaduan sesama kita, dipermudahkan dalam semua urusan dan dianugerahkan sinar kejayaan, InsyaAllah.

Wasalam,

Khairul Annuar bin Abdul Aziz

Presiden PESAMP